Trauma dalam kalangan Orang Kurang Upaya fizikal akibat kemalangan: Satu perkongsian pengalaman dalam menghadapi krisis
DOI:
https://doi.org/10.22219/procedia.v3i1.2215Abstract
Dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), mengalami kurang upaya akibat serangan penyakit dan kehilangan anggota badan akibat kemalangan merupakan mimpi ngeri kepada sesiapa sahaja yang mengalaminya. Individu yang terpaksa melalui situasi ini akan mengalami perasaan putus asa kerana kesukaran untuk bergerak dan tidak berupaya melaksanakan tugasan harian dengan sempurna. Mereka akan menunjukkan tingkah laku dan gangguan emosi yang tidak stabil seperti terkejut, cemas, murung, marah, penyesuaian serta mengalami perubahan signifikan dalam perhubungan
sosial. Kesan seterusnya akan membawa kepada trauma dalam kehidupan harian mereka. Trauma yang dialami oleh OKU fizikal akibat sesuatu kemalangan didapati boleh mendatangkan kesan yang sangat mendalam. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana OKU fizikal akibat kemalangan mengawal dan mengatasi trauma apabila menghadapi krisis sebagai OKU. Oleh itu, pendekatan kaunseling pemulihan secara berkelompok telah digunakan bertujuan membantu OKUmengenal pasti faktorpenyumbang kepada kebangkitan semula selepas mengalami kurang upaya fizikal akibat kemalangan. Kajian ini telah menggunakan pendekatan kualitatif terhadap 11 orang OKU fizikal akibat kemalangan. Kaedah ini sangat berkesan dalam membantu subjek menghuraikan secara mendalam pengalaman menghadapi krisis sebagai OKU dan langkah yang dilakukan untuk mengawal serta mengatasi trauma melalui luahan perkongsian, pendedahan kendiri dan perkembangan diri. Hasil kajian mendapati terdapat dua faktor utama iaitu dalaman dan luaran yang menjadi penyumbang kepada mengawal dan mengatasi trauma kesan daripada kehilangan anggota badan.Faktor dalaman melibatkan diri subjek sendiri manakala faktor luaran terbahagi kepada empat sub tema iaitu keluarga, ibu bapa, rakan dan masyarakat. Implikasi kajian menunjukkan individu yang mengalami kurang upaya fizikal sangat memerlukan perkhidmatan sokongan yang dapat membantu mereka untuk kembali pulih daripada krisis kehilangan anggota badan dan perasaan trauma tersebut.
Kata kunci: OKU, kemalangan, trauma, krisis, upaya fizikal